English
Jawi
Rumi
smaller
small
normal
big
bigger
biggest
THE SITE STILL UNDER EVOLUTION .. WILL BE OPENING SOON !
ارتيكل تركيني
Latest Articles
خط مشهوركن نور هادي
كتيك د بڠكو سكوله منڠه دهولو، بلياو ڤانتڠ مليهت اد ڤاڤن هيتم يڠ كوسوڠ. ڤستي تاڠن نور هادي ميسكون، ٣٦، اكن منچون...
كتيڬوري
Categories
رماج دان اكتيۏيتي
[2]
ڤرسڤيكتيف
[0]
سني دان سسترا
[8]
تيكنولوڬي
[1]
ساءين س دان اسلام
[1]
ڤڠالمن
[2]
واونچارا
[2]
Terjemahan Melayu (Rumi)
Edusystem bukti kejayaan penerbit Melayu
3028 دباچ | 2006-05-21 08:31:28
DUNIA penerbitan bercetak tidak dinafikan merupakan medium komunikasi massa yang tertua dan sering berhadapan dengan persaingan untuk meneruskan kelangsungannya.
Perkembangan radio, televisyen, filem dan internet sehinggalah media bercetak yang diimport telah merampas audiens media cetak di negara ini.
Bagaimanapun, alhamdulillah sehingga kini media cetak seperti buku, majalah dan surat khabar di Malaysia terus wujud malah semakin berkembang.
Dari semasa ke semasa, walaupun berlaku persaingan antara para penerbit, ia tidak sedikit pun menggugat keteguhan Edusystem Sdn. Bhd. untuk terus menghasilkan produk yang mendahului pasaran penerbitan.
Menurut Pengurus Besarnya, Mohamad Sobri Jaafar, 43, kemampuan Edusystem sebagai antara syarikat penerbitan Bumiputera yang bertahan sehingga kini membuktikan di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Ikuti temu bual bersama Mohamad Sobri di pejabatnya di No. 2 & 4, Tingkat 2, Jalan 2/12, Bandar Baru Selayang, Selangor. Beliau menyingkap rahsia ketahanan Edusystem dan perancangan beliau untuk meneruskan kegemilangan Edusystem sehingga ke peringkat antarabangsa.
Bagaimanakah perniagaan Edusystem Sdn. Bhd. bermula dan terangkan serba ringkas perkembangan terkini syarikat saudara?
MOHD. SOBRI: Edusystem ditubuhkan pada 1985. Pada masa itu tidak terdapat ramai bumiputera yang terlibat dalam bidang penerbitan secara serius. Keunikan Edusystem ialah buku-buku yang diterbitkan adalah lain daripada buku yang diterbitkan penerbit lain. Hasil penerbitan kami adalah yang tahan lama atau evergreen. Contohnya buku Asas Seni Lukis karangan bekas pengarang dan pelukis tanah air, Jaafar Taib. Selain itu, Edusystem juga pada peringkat awal menerbitkan buku Pengakap dan Tunas Puteri. Buku-buku ini digunakan di sekolah-sekolah dan masih dijual hingga sekarang.
Pada 1987 pula, Edusystem mengorak langkah baru dalam penerbitan buku-buku teks sekolah rendah dan menengah untuk dibekalkan kepada Kementerian Pelajaran. Sehingga kini, kami
menghasilkan lebih 40 judul. Antaranya Matematik, Bahasa Malaysia, Prinsip Akaun, Kemahiran Hidup dan beberapa lagi.
Alhamdulillah, Edusystem bertahan dan sehingga kini pengalaman kami dalam penerbitan buku teks memakan tempoh 20 tahun lamanya. Ini merupakan satu tempoh yang agak membanggakan bagi kami lebih-lebih lagi kerana kami terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat bukan bumiputera yang namanya sudah teguh dan terkenal.
Pun begitu, berkat kerja keras dan sentiasa berusaha mencari inovasi baru dalam dunia penerbitan, Edusystem telah menerbitkan buku teks Kemahiran Hidup Tingkatan 3 dan Prinsip Akaun Tingkatan 4 untuk sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
Pada 1993, Edusystem mula menerbitkan buku kanak-kanak apabila mendapati dunia penerbitan memfokuskan cerita-cerita dongeng dari Barat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Menyedari kekosongan ini Edusystem telah menjadikan penerbitan buku sebegini sebagai satu projek besar-besaran yang dikenali sebagai Novel Kenari yang mengandungi beberapa siri novel dengan pelbagai tema khas buat pembaca berusia 15 tahun ke bawah.
Tambah membanggakan, dalam tempoh tiga tahun penerbitannya, Edusystem berjaya mengumpul 60,000 pelajar daripada berbilang kaum sebagai Ahli Kelab Buku Kenari. Kini kelab ini telah diserapkan menjadi Ahli Kelab Buku Edu.
Terkini, kami baru sahaja melancarkan buku terbaru berjudul Untaian 366 Kisah Daripada Al-Quran. Ia adalah cerita kanak-kanak bercorak bedtime stories. Walaupun diakui buku-buku berunsur agama banyak terdapat di pasaran, namun buku yang kami perkenalkan kali ini ada keunikan dan keistimewaan tersendiri.
Mengapakah saudara berminat dengan perniagaan ini dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?
Sebelum melibatkan diri sepenuhnya dengan Edusystem, saya akui bidang penerbitan boleh dikatakan sudah sebati dengan diri saya. Tambahan pula saya dapati pada tahun 1980-an bidang penerbitan buku kurang penglibatan serius malah boleh dikira jumlah penerbit bumiputera yang terbabit.
Pada masa itu saya berkeyakinan bidang penerbitan buku ini ada potensi untuk maju, apalagi didapati bidang penerbitan pada masa itu hanya kepada bahan-bahan bercorak agama. Lantaran itu, saya lihat ada kekosongan terutama terbitan buku bercorak akademik dan buku-buku umum berwajah Malaysia.
Edusystem adalah satu-satunya syarikat yang mendapat hak penerbitan daripada Persatuan Pengakap Malaysia dan Persatuan Tunas Puteri bagi menerbitkan buku-buku mengenai pasukan beruniform itu.
Kejayaan yang dicapai Edusystem ini telah membuktikan kepada masyarakat bahawa syarikat bumiputera juga mampu bertahan biarpun dengan pelbagai cabaran melanda dunia penerbitan.
Satu kelebihan dan prinsip di Edusystem ialah kami sentiasa mendahului atau menjadi pelopor dalam setiap produk yang dihasilkan. Kebanyakan syarikat bumiputera yang kecundang dalam penerbitan berpunca kerana mereka menjadi ‘pengikut’.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana saudara berusaha mengatasinya?
Cabarannya memang cukup hebat. Misalnya ketika peralihan daripada menerbitkan buku teks kepada inisiatif baru mengeluarkan buku-buku umum mahupun agama yang berkonsep moden.
Selain itu, wujud halangan dari aspek pemasaran dan jualan. Ini dihadapi bukan sahaja kepada Edusystem tetapi juga syarikat-syarikat bumiputera lain. Bagi saya, syarikat bumiputera memang pandai menjual tetapi ‘kurang’ dari segi strategi pemasaran. Sebab itulah kalau kita hendak maju, sesebuah syarikat itu mestilah kuat dari segi jualan dan pemasaran.
Di Edusystem, saya cuba seimbangkan dengan menubuhkan dua pasukan iaitu unit pemasaran dan unit jualan. Hakikatnya, majoriti pasaran yang ada sekarang dikuasai oleh syarikat penerbitan bumiputera.
Lantaran itu, Edusystem bukan sahaja bermatlamat untuk menjual produk tetapi pada masa yang sama menjual imej syarikat. Contohnya menjaga kualiti produk-produk Edusystem. Aspek inilah yang menjadi penekanan dan keutamaan kami.
Peningkatan harga kertas dunia turut menjadi cabaran yang terpaksa diterima namun apabila kita menghasilkan produk-produk yang baru di pasaran serta berusaha mencari alternatif untuk terus ke hadapan, masalah ini tidak mustahil dapat diatasi.
Satu lagi cabaran dalam dunia penerbitan adalah dari segi kutipan daripada para pengedar. Kelambatan mendapatkan bayaran boleh menjejaskan modal pusingan terutama jika modal kita kecil. Oleh itu, saya tidak letakkan pergantungan sepenuhnya kepada penjualan di kedai-kedai buku. Edusystem memperuntukkan 60 peratus bekalan buku mesti dijual sendiri dan bakinya bagi jualan di kedai-kedai. Seramai 12 pegawai pemasaran digajikan khas untuk membuat jualan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan Edusystem?
Kami merancang untuk pergi lebih jauh iaitu terus meneroka pasaran dalam negeri dan berusaha menembusi pasaran luar negara. Bagi mencapai matlamat pertama ini kami akan menerbitkan Kit Celik Jawi atau KIA2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) di kalangan murid sekolah. Ia akan berada di pasaran pada bulan ini.
Baru-baru ini, kami melancarkan buku Untaian 366 Kisah Daripada Al-Quran. Alhamdulillah buku ini sedang dalam proses diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab. Kami menjangkakan buku ini akan dipasarkan di peringkat antarabangsa pada awal tahun depan. Kami juga ada merancang untuk menerbitkan buku ini dalam versi Tamil dan Mandarin.
Edusystem juga sedang dalam perbincangan dengan beberapa penerbit Indonesia untuk mengalih bahasa buku itu ke dalam bahasa Indonesia.
Kami juga berhasrat menerbitkan produk berkonsep ensiklopedia berkaitan dunia Islam dan buku ini sedang dalam proses pembikinan. Ia akan diterbitkan sebelum Pesta Buku Antarabangsa 2007.
Kepuasan yang bagaimanakah yang saudara peroleh dalam bidang ini?
Alhamdulillah, penglibatan saya dalam perniagaan penerbitan mencecah 23 tahun bermula sebagai pekerja hinggalah ke jawatan Pengurus Penerbitan. Sejak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas Edusystem pada 2004, saya bersyukur kepada Ilahi apabila melihat kemajuan syarikat ini dari sehari ke sehari.
Saya masih ingat lagi bagaimana Edusystem bermula dengan lima orang pekerja sahaja tetapi kini ia mempunyai 23 kakitangan.
Satu perkara yang saya cukup prihatin ialah aspek moral kakitangan di Edusystem. Sebab itulah saya amalkan konsep mesra pekerja. Saya mahukan mereka gembira ketika bekerja dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada syarikat yang dianggap sebagai milik mereka sendiri. Malah mereka ini bekerja sebagai sebuah keluarga.
Selain itu, saya berbangga dan bersyukur Edusystem dapat menyediakan platform untuk anak-anak Melayu menimba ilmu. Ini juga merupakan salah satu sebab mengapa saya berazam untuk membangunkan Edusystem ke tahap yang lebih hebat lagi.
Sebagai seorang korporat Muslim, apakah pandangan saudara berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah menerusi bidang perniagaan?
Kebenaran saranan Baginda Rasulullah s.a.w. itu memang tidak boleh dipertikaikan. Dalam dunia perniagaan, untuk berjaya ia memerlukan komitmen, usaha, kerja keras, berdoa dan bertawakal. Berbeza sekiranya seseorang itu sekadar makan gaji, komitmen mereka hanya pada kerja.
Dalam berniaga, tanggungjawab yang perlu dipikul sangat besar. Dalam menguruskan syarikat, kita perlu ingat bahawa ramai pekerja yang bergantung hidup pada hasil pendapatan yang diperoleh syarikat.
Hakikatnya, Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya tetapi biarlah kaya dengan cara yang diredai agama Islam. Saya banyak menjadikan tokoh-tokoh usahawan Islam sebagai pemangkin semangat untuk terus maju.
Walaupun saya tidak setanding dengan mereka tetapi sekurang-kurangnya apa yang saya usahakan ini menyumbang kepada orang lain.
ايدوشستيم بوقتي كجايأن ڤنربيت ملايو
3028 دباچ | 2006-05-21 08:31:28
دنيا ڤنربيتن برچيتق تيدق دينافيكن مروڤاكن ميديوم كومونيكاسي مسسا يڠ ترتوا دان سريڠ برهادڤن دڠن ڤرساءيڠن اونتوق منروسكن كلڠسوڠنڽ.
ڤركمبڠن راديو، تيليۏيسيين، فيليم دان اينترنيت سهيڠڬالاه ميديا برچيتق يڠ دايمڤورت تله مرمڤس اءوديانس ميديا چيتق د نڬارا اين.
باڬايمانڤون، الحمدلله سهيڠڬ كيني ميديا چيتق سڤرتي بوكو، مجله دان سورت خبر د مليسيا تروس ووجود ماله سماكين بركمبڠ.
دري سماس ك سماس، والاوڤون برلاكو ڤرساءيڠن انتارا ڤارا ڤنربيت، اي تيدق سديكيت ڤون مڠڬوڬت كتڬوهن ايدوشستيم سنديريان. برحد. اونتوق تروس مڠهاسيلكن ڤرودوق يڠ مندهولوي ڤاسرن ڤنربيتن.
منوروت ڤڠوروس بسرڽ، محمد سوبري جعفر، ٤٣، كممڤوان ايدوشستيم سباڬاي انتارا شريكت ڤنربيتن بوميڤوترا يڠ برتاهن سهيڠڬ كيني ممبوقتيكن د مان اد كماهوان د سيتو اد جالن.
ايكوتي تمو بوال برسام محمد سوبري د ڤجابتڽ د نو. ٢ & ٤، تيڠكت ٢، جالن ٢/١٢، بندر بارو سلايڠ، سلاڠور. بلياو مڽيڠكڤ رهسيا كتاهانن ايدوشستيم دان ڤرانچڠن بلياو اونتوق منروسكن كڬميلڠن ايدوشستيم سهيڠڬ ك ڤريڠكت انتارابڠسا.
باڬايمانكه ڤرنياڬان ايدوشستيم سنديريان. برحد. برمولا دان ترڠكن سربا ريڠكس ڤركمبڠن تركيني شريكت ساودارا؟
محمد. سوبري: ايدوشستيم دتوبوهكن ڤد ١٩٨٥. ڤد ماس ايت تيدق ترداڤت راماي بوميڤوترا يڠ ترليبت دالم بيدڠ ڤنربيتن سچارا سريوس. كاونيكن ايدوشستيم اياله بوكو-بوكو يڠ دتربيتكن اداله لاين درڤد بوكو يڠ دتربيتكن ڤنربيت لاين. هاسيل ڤنربيتن كامي اداله يڠ تاهن لاما اتاو ايۏيرڬرين. چونتوهڽ بوكو اساس سني لوكيس كارڠن بكس ڤڠاراڠ دان ڤلوكيس تانه اير، جعفر تايب. سلاين ايت، ايدوشستيم جوڬ ڤد ڤريڠكت اول منربيتكن بوكو ڤڠاكڤ دان تونس ڤوتري. بوكو-بوكو اين دڬوناكن د سكوله-سكوله دان ماسيه دجوال هيڠڬ سكاراڠ.
ڤد ١٩٨٧ ڤولا، ايدوشستيم مڠورق لڠكه بارو دالم ڤنربيتن بوكو-بوكو تيك س سكوله رنده دان منڠه اونتوق دبكلكن كڤد كمنترين ڤلاجرن. سهيڠڬ كيني، كامي
مڠهاسيلكن لبيه ٤٠ جودول. انتاراڽ ماتماتيك، بهاس مليسيا، ڤرينسيڤ اكاءون، كماهيرن هيدوڤ دان ببراڤ لاڬي.
الحمدلله، ايدوشستيم برتاهن دان سهيڠڬ كيني ڤڠالمن كامي دالم ڤنربيتن بوكو تيك س مماكن تيمڤوه ٢٠ تاهون لاماڽ. اين مروڤاكن ساتو تيمڤوه يڠ اڬق ممبڠڬاكن باڬي كامي لبيه-لبيه لاڬي كران كامي ترڤقسا برساءيڠ دڠن شريكت-شريكت بوكن بوميڤوترا يڠ نامڽ سوده تڬوه دان تركنل.
ڤون بڬيتو، بركت كرجا كراس دان سنتياس بروسها منچاري اينوۏاسي بارو دالم دنيا ڤنربيتن، ايدوشستيم تله منربيتكن بوكو تيك س كماهيرن هيدوڤ تيڠكتن ٣ دان ڤرينسيڤ اكاءون تيڠكتن ٤ اونتوق سكوله-سكوله سلوروه مليسيا.
ڤد ١٩٩٣، ايدوشستيم مولا منربيتكن بوكو كانق-كانق اڤابيلا منداڤتي دنيا ڤنربيتن ممفوكوسكن چريتا-چريتا دوڠيڠ دري بارت يڠ تله دترجمهكن ك دالم بهاس مليسيا. مڽدري ككوسوڠن اين ايدوشستيم تله منجاديكن ڤنربيتن بوكو سبڬيني سباڬاي ساتو ڤروجيك بسر-بسرن يڠ دكنلي سباڬاي نوۏيل كناري يڠ مڠاندوڠي ببراڤ سيري نوۏيل دڠن ڤلباڬاي تيما خاص بوات ڤمباچ بروسيا ١٥ تاهون ك باوه.
تمبه ممبڠڬاكن، دالم تيمڤوه تيڬ تاهون ڤنربيتنڽ، ايدوشستيم برجاي مڠومڤول ٦٠،٠٠٠ ڤلاجر درڤد بربيلڠ قوم سباڬاي اهلي كلب بوكو كناري. كيني كلب اين تله دسراڤكن منجادي اهلي كلب بوكو ايدو.
تركيني، كامي بارو سهاج ملنچركن بوكو تربارو برجودول اونتاين ٣٦٦ قيصه درڤد القرءان. اي اداله چريتا كانق-كانق برچورق بيدتيمي ستوريس. والاوڤون دأكوي بوكو-بوكو برونسور اڬام باڽق ترداڤت د ڤاسرن، نامون بوكو يڠ كامي ڤركنلكن كالي اين اد كاونيكن دان كايستيميوأن ترسنديري.
مڠاڤكه ساودارا برمينت دڠن ڤرنياڬان اين دان تيدق كڤد بنتوق ڤرنياڬان لاين؟
سبلوم مليبتكن ديري سڤنوهڽ دڠن ايدوشستيم، ساي اكوا بيدڠ ڤنربيتن بوليه دكاتاكن سوده سباتي دڠن ديري ساي. تمبهن ڤولا ساي داڤتي ڤد تاهون ١٩٨٠-ان بيدڠ ڤنربيتن بوكو كورڠ ڤڠليبتن سريوس ماله بوليه دكيرا جومله ڤنربيت بوميڤوترا يڠ تربابيت.
ڤد ماس ايت ساي بركيقينن بيدڠ ڤنربيتن بوكو اين اد ڤوتينسي اونتوق ماجو، اڤلاڬي دداڤتي بيدڠ ڤنربيتن ڤد ماس ايت هاڽ كڤد باهن-باهن برچورق اڬام. لنترن ايت، ساي ليهت اد ككوسوڠن تراوتما تربيتن بوكو برچورق اكادميك دان بوكو-بوكو عموم بروجه مليسيا.
ايدوشستيم اداله ساتو-ساتوڽ شريكت يڠ منداڤت حق ڤنربيتن درڤد ڤرساتوان ڤڠاكڤ مليسيا دان ڤرساتوان تونس ڤوتري باڬي منربيتكن بوكو-بوكو مڠناءي ڤاسوكن برونيفورم ايت.
كجايأن يڠ دچاڤاي ايدوشستيم اين تله ممبوقتيكن كڤد مشاركت بهاوا شريكت بوميڤوترا جوڬ ممڤو برتاهن بيارڤون دڠن ڤلباڬاي چابرن ملندا دنيا ڤنربيتن.
ساتو كلبيهن دان ڤرينسيڤ د ايدوشستيم اياله كامي سنتياس مندهولوي اتاو منجادي ڤلوڤور دالم ستياڤ ڤرودوق يڠ دهاسيلكن. كبڽقان شريكت بوميڤوترا يڠ كچونداڠ دالم ڤنربيتن برڤونچا كران مريك منجادي ‘ڤڠيكوت’.
اڤاكه چابرن يڠ دهادڤي دالم بيدڠ اين دان باڬايمان ساودارا بروسها مڠاتاسيڽ؟
چابرنڽ ميمڠ چوكوڤ هيبت. ميثلڽ كتيك ڤراليهن درڤد منربيتكن بوكو تيك س كڤد اينسياتيف بارو مڠلواركن بوكو-بوكو عموم ماهوڤون اڬام يڠ بركونسيڤ مودن.
سلاين ايت، ووجود هالڠن دري اسڤيك ڤماسارن دان جوالن. اين دهادڤي بوكن سهاج كڤد ايدوشستيم تتاڤي جوڬ شريكت-شريكت بوميڤوترا لاين. باڬي ساي، شريكت بوميڤوترا ميمڠ ڤنداي منجوال تتاڤي ‘كورڠ’ دري سڬي ستراتيڬي ڤماسارن. سبب ايتله كالاو كيت هندق ماجو، سسبواه شريكت ايت مستيله كوات دري سڬي جوالن دان ڤماسارن.
د ايدوشستيم، ساي چوبا سإيمباڠكن دڠن منوبوهكن دوا ڤاسوكن ايايت اونيت ڤماسارن دان اونيت جوالن. حقيقتڽ، ماجوريتي ڤاسرن يڠ اد سكاراڠ دكواساا اوليه شريكت ڤنربيتن بوميڤوترا.
لنترن ايت، ايدوشستيم بوكن سهاج برمتلامت اونتوق منجوال ڤرودوق تتاڤي ڤد ماس يڠ سام منجوال ايميج شريكت. چونتوهڽ منجاڬ كواليتي ڤرودوق-ڤرودوق ايدوشستيم. اسڤيك اينله يڠ منجادي ڤنكانن دان كاوتامأن كامي.
ڤنيڠكتن هرڬ كرتس دنيا توروت منجادي چابرن يڠ ترڤقسا دتريما نامون اڤابيلا كيت مڠهاسيلكن ڤرودوق-ڤرودوق يڠ بارو د ڤاسرن سرتا بروسها منچاري الترناتيف اونتوق تروس ك هادڤن، مسئله اين تيدق مستحيل داڤت دأتسي.
ساتو لاڬي چابرن دالم دنيا ڤنربيتن اداله دري سڬي كوتيڤن درڤد ڤارا ڤڠدر. كلامبتن منداڤتكن بايرن بوليه منجيجسكن مودال ڤوسيڠن تراوتما جك مودال كيت كچيل. اوليه ايت، ساي تيدق لتقكن ڤرڬنتوڠن سڤنوهڽ كڤد ڤنجوالن د كداي-كداي بوكو. ايدوشستيم ممڤرونتوقكن ٦٠ ڤراتوس بكلن بوكو مستي دجوال سنديري دان باكيڽ باڬي جوالن د كداي-كداي. سراما ١٢ ڤڬاواي ڤماسارن دڬاجيكن خاص اونتوق ممبوات جوالن يڠ دبهاڬيكن كڤد ببراڤ كومڤولن.
اڤاكه اوسها يڠ دجالنكن اونتوق مڠمباڠكن لاڬي ڤرنياڬان ايدوشستيم؟
كامي مرنچڠ اونتوق ڤرڬي لبيه جاوه ايايت تروس منروك ڤاسرن دالم نڬري دان بروسها منمبوسي ڤاسرن لوار نڬارا. باڬي منچاڤأي متلامت ڤرتام اين كامي اكن منربيتكن كيت چليق جاوي اتاو كيا٢م (كلس انترۏينسي اول ممباچ دان منوليس) د كالڠن موريد سكوله. اي اكن برادا د ڤاسرن ڤد بولن اين.
بارو-بارو اين، كامي ملنچركن بوكو اونتاين ٣٦٦ قيصه درڤد القرءان. الحمدلله بوكو اين سداڠ دالم ڤروسيس دترجمهكن ك دالم بهاس ايڠڬريس دان بهاس عرب. كامي منجڠككن بوكو اين اكن دڤاسركن د ڤريڠكت انتارابڠسا ڤد اول تاهون دڤن. كامي جوڬ اد مرنچڠ اونتوق منربيتكن بوكو اين دالم ۏرسي تاميل دان مندارين.
ايدوشستيم جوڬ سداڠ دالم ڤربينچڠن دڠن ببراڤ ڤنربيت إندونيسيا اونتوق مڠاليه بهاس بوكو ايت ك دالم بهاس إندونيسيا.
كامي جوڬ برحسرت منربيتكن ڤرودوق بركونسيڤ اينسيكلوڤيديا بركاءيتن دنيا اسلام دان بوكو اين سداڠ دالم ڤروسيس ڤمبيكينن. اي اكن دتربيتكن سبلوم ڤيستا بوكو انتارابڠسا ٢٠٠٧.
كڤواسن يڠ باڬايمانكه يڠ ساودارا ڤروليه دالم بيدڠ اين؟
الحمدلله، ڤڠليبتن ساي دالم ڤرنياڬان ڤنربيتن منچچه ٢٣ تاهون برمولا سباڬاي ڤكرجا هيڠڬله ك جاوتن ڤڠوروس ڤنربيتن. سجق برتڠڬوڠجواب سڤنوهڽ ك اتس ايدوشستيم ڤد ٢٠٠٤، ساي برشكور كڤد الهي اڤابيلا مليهت كماجوان شريكت اين دري سهاري ك سهاري.
ساي ماسيه ايڠت لاڬي باڬايمان ايدوشستيم برمولا دڠن ليما اورڠ ڤكرجا سهاج تتاڤي كيني اي ممڤوڽاءي ٢٣ كاكيتاڠن.
ساتو ڤركارا يڠ ساي چوكوڤ ڤريهاتين اياله اسڤيك مورل كاكيتاڠن د ايدوشستيم. سبب ايتله ساي عملكن كونسيڤ مسرا ڤكرجا. ساي ماهوكن مريك ڬمبيرا كتيك بكرجا دان سچارا تيدق لڠسوڠ داڤت مڽومبڠ كڤد شريكت يڠ دأڠڬڤ سباڬاي ميليق مريك سنديري. ماله مريك اين بكرجا سباڬاي سبواه كلوارڬ.
سلاين ايت، ساي بربڠڬ دان برشكور ايدوشستيم داڤت مڽدياكن ڤلاتفورم اونتوق انق-انق ملايو منيمبا علمو. اين جوڬ مروڤاكن ساله ساتو سبب مڠاڤ ساي برعزم اونتوق ممباڠونكن ايدوشستيم ك تاهڤ يڠ لبيه هيبت لاڬي.
سباڬاي سأورڠ كورڤورت مسلم، اڤاكه ڤنداڠن ساودارا بركاءيتن دڠن سارنن اسلام ايايت ٩/١٠ ڤونچا رزقي اداله منروسي بيدڠ ڤرنياڬان؟
كبنرن سارنن بڬندا رسول الله صلى الله عليه وسلم ايت ميمڠ تيدق بوليه دڤرتيكايكن. دالم دنيا ڤرنياڬان، اونتوق برجاي اي ممرلوكن كوميتمن، اوسها، كرجا كراس، بردعا دان برتوكل. بربيذا سكيراڽ سساورڠ ايت سقدر ماكن ڬاجي، كوميتمن مريك هاڽ ڤد كرجا.
دالم برنياڬ، تڠڬوڠجواب يڠ ڤرلو دڤيكول ساڠت بسر. دالم مڠوروسكن شريكت، كيت ڤرلو ايڠت بهاوا راماي ڤكرجا يڠ برڬنتوڠ هيدوڤ ڤد هاسيل ڤنداڤتن يڠ دڤراوليه شريكت.
حقيقتڽ، اسلام مڠڬالقكن اومتڽ منجادي كاي تتاڤي بيارله كاي دڠن چارا يڠ دردأي اڬام اسلام. ساي باڽق منجاديكن توكوه-توكوه اوسهاوان اسلام سباڬاي ڤمڠكين سماڠت اونتوق تروس ماجو.
والاوڤون ساي تيدق ستانديڠ دڠن مريك تتاڤي سكوراڠ-كورڠڽ اڤ يڠ ساي اوسهاكن اين مڽومبڠ كڤد اورڠ لاين.