Ejawi Blogger

Ejawi provide blog space dedicated to the members registered with the ejawi. In this blog, members can include any entry it deems fit, especially in connection with the Jawi script. Regardless of whether activities such as seminars, workshops, conventions and so on. You can also submit articles related to the Jawi script, and other products so that other members can equally give opinions, suggestions, criticism, constructive criticism.

However, you are prohibited from publishing provocative articles, the issues that affect the sensitivity of society and people, rumors, and anything deemed not beneficial to current developments in the Jawi script.




By Nuruddin on 29/06/2009 22:15 Tiada comment
Perjuangan Kemerdekaan Kali-II Melalui Penataran
Perjuangan Kemerdekaan Kali-II Melalui Penataran Tulisan Jawi
Muhammad Nuruddin Bashah
Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan
Universiti Malaya

1. Muqaddimah
Kertas kerja atau tulisan ini dilakar dan disusun sebagai suatu oleh-oleh dari penulis kepada alam Melayu-Islam. Satu cenderahati penulis sebagai penghargaan kepada buana Islam yang terdampar erat di atas lapangan bangsa Melayu.

Terlalu banyak ujaran dan pandangan serta keluh kesah para pejuang tulisan jawi serta pejuang bahasa terhadap nasih malang yang menimpa tulisan bertuah ini. Malah terlalu banyak juga paparan dibuat dalam bentuk fenomena kegersangan masyarakat Melayu terhadap penggunaan tulisan jawi. Namun dalam penulisan ini kita cuba mengaitkan pemerhatian fenomena malang terhadap tulisan jawi kepada suatu agenda perjuangan milenium iaitu memerdekakan jatidiri umat Islam yang berbangsa Melayu khususnya. Terdapat pelbagai cabang dalam usaha memerdekakan bangsa dan di antaranya adalah memerdekakan pemikiran, cara hidup, tingkah laku, pandang sarwa, matlamat hidup, pergantungan dan sebagainya. Namun begitu, memartabatkan tulisan jawi kepada orbit atau gelanggang sebenarnya juga adalah suatu perjuangan kemerdekaan.

Ramai juga telah cuba mengenang signifikasi tulisan ini dalam pelbagai aspek seperti syair melalui karya Hamzah Fansuri, Tuk Shihabuddin, syair Sheikh Ahmad Al Fatani dan sebagainya. Dalam bidang sejarah ala hikayat-metos melalui Tulisan Hikayat Ali Hanifah (bahan motivasi Kesultanan Melaka), Hikayat Perang Khandaq serta Hikayat Nabi Bercukur. Dalam bidang perundangan pula ia termaktub dalam Prasasti dan Kitab Kanun Melaka, Undang-Undang 99 Perak, dan sebagainya. Dalam bidang persuratan pula kitab-kitab kuning menjadi korpus utama. Ternyata ramai mengungkit kesemua jasa tulisan ini dalam membina tamadun Melayu Islam.

Namun jarang juga yang ingin mengungkit tulisan ini dalam bentuk penghargaan warisan tidak nyata. Menurut Kamus Oxford Advance Learner’s 6th Edition, Intangible Heritage bermaksud exist but difficulat to describe, understand or measure. Konvensyen UNESCO 1972 hanya mengiktiraf warisan nyata sebagai warisan budaya namun begitu, Konvensyen UNESCO 2003 pula telah mengiktiraf warisan tidak nyata sebagai warisan budaya iaitu selepas 31 tahun .

Warisan nyata (Tangible Heritage) adalah seperti artifak arkeologi, peralatan dan komoditi yang ditemui serta dipercayai membawa makna budaya, sejarah dan erti sesebuah ketamadunan. Ia lebih dari sekadar dalil atau bukti ketamadunan. Warisan tidak nyata (Intangible Heritage) pula menurut huraian di Konvensyen UNESCO 2003, ia meliputi amalan, ekspresi, pengetahuan dan kemahiran yang mana komuniti, kumpulan dan individu mengiktirafnya sebagai suatu warisan budaya.

Tulisan jawi mewakili kedua-dua warisan iaitu nyata dan tidak nyata. Ia nyata apabila ia terukir pada batu bersurat dan prasasti. Ia juga warisan tidak nyata apabila ia mewariskan budaya Islam, bukti adanya keterikatan antara Islam dalam budaya harian Melayu dan sebagainya.

2. Bahasa itu teras, tulisan itu bayang
Tulisan adalah simbol atau lambang kepada identiti bahasa. Tulisan adalah perwakilan artikulasi bahasa semenjak manusia tahu bagaimana menyampaikan buah fikiran, menghurai perkara visual untuk difahami oleh orang lain. Tulisan juga menjadi alat awal mengekalkan ingatan bermula dengan penulisan bilangan hari dan bulan . Lantaran itu saya kaitkan bahasa sebagai teras atau satu entiti, manakala tulisan adalah penunjuk atau dalil wujudnya entiti tersebut. Tanpa bayang manakan logik wujudnya suatu benda material.

Eratnya tulisan ini kepada buana Melayu sehingga ia dilebarkan daripada tulisan keagamaan semata kepada tulisan perhubungan, pentadbiran dan sebagainya. Tulisan ini menjadi tulisan bagi pelbagai sub-etnik rumpun Melayu seperti Jawa, Palembang, Minangkabau, Brunei, Mindanao, Patani, Acheh, Riau dan sebagainya.

Menurut Zaa’ba,
“Tulisan MeIayu huruf ‘Arab itu biasa di-sebut di-Malaya sekarang “Tulisan Jawi”. Ini ada-lah mengikut ma‘ana perkataan “Jawi” dalam rangkai2 kata saperti “Tanah Jawi, orang Jawi datang dari Jawi, turun ka-Jawi, kitab Jawi, ‘ulama Jawi, masok Jawi” dan sa-bagai-nya. Sakalian kata2 itu telah lama terpakai-nya dengan pergunaan demikian dalam bahasa Me1ayu. Asal-nya ia-lah kerana seluroh ‘Alam Melayu atau Malaysia ini biasa di-kenal oleh orang2 ‘Arab Hijas dari dahulu kala sampai sekarang pun dengan nama “Jawah”, dan orang2-nya dan lain2 hal ahwal-nya di-nisbahkan mereka dengan perkataan “Jawi”. Kemudian dari situ melarat-lah orang Melayu sendiri pula memakai perkataan “Jawi” itu pada perkara2 di-atas tadi, yang ada berchampor di-dalam-nya bandingan kemelayuan dengan ke‘araban” .

Lihat penjelasan oleh Shaikh Andullah Basmih dalam kertas kerja bertajuk Bahasa Melayu dan Tulisan Kebangsaan, Kongres Bahasa Melayu III,
“Tetapi walau bagaimapa pun di-tutup dan di-selimuti, di-da‘ayah dan dipropagandakan, kedua2 tulisan ini mempunyai hakikat dan chorak yang tersendiri; tulisan Melayu yang berhurufkan Quran ia-lah lambang kebudayaan Islam, dan sa-balek-nya tulisan Rumi ia-lah lambang kebudayaan Barat, atau lebeh tegas lambang kebudayaan Kristian. Kerana hakikat yang terang-benderang ini-lah “UNESCO” menghantarkan pakar2-nya ka-seluroh dunia, untok mengembangkan tulisan Rumi di-bawah lindongan nama; Membasmi buta huruf”.

Tulisan jawi adalah berasal dari skrip Arab. Manakala asal skrip Arab berasal dari keluarga semitik, cabangan semitik utara, aramaik seterusnya skrip nabataen hingga ke skrip arab . Manakala perkataan jawi menurut Ustaz Wan Mohd Soghir (kertas kerja Simposium Peradaban Ilmu da Ketamadunan Islam UTM Skudai 2004) berasal dari kalimah ‘jawah’ dan ia popular bagi ulama’ arab di Arab Saudi mengenali orang Melayu sebagai orang jawah. Jawi bukan bermaksud ia adalah tulisan orang jawa (mereka menggunakan tulisan kawi) sebaliknya tanah Jawa lebih dikenali di alam Asia Barat sebagai wakil tanah orang Melayu. Mungkin juga jawi berasal dari perkataan ‘Al jawiyyu’ yang bermaksud negeri di atas angin (jauh) iaitu jauh dari tanah Arab.

3. Bahasa Melayu dan jawi sebagai media ilmu seranta
Huruf Arab telah menjadi sumber tamadun Barat-Eropah untuk merebut keilmuan Islam . Hal ini bukan suatu metos, walaupun kebanyakan buku dan laman web barat menghapuskan period keunggulan Islam (Empayar Islam) sebagai period pengaruh besar terhadap mereka. Malah ada penulis barat yang menafikan Pulau Sicily, Granada dan Cordova, Afrika Utara serta Damascus (Damsyiq) sebagai pusat di mana transaksi ilmu Islam-arab ke dalam kosmologi-epistemologi mereka. Lihat sahaja Afrika Utara-Tunisia-Marokko yang diarabkan (musta’rab), mereka menggunakan bahasa Arab dan tulisan Arab untuk maju dan membina ketamadunan mereka berasaskan sistem piawaian epistemologi Al-Quran. Mahu atau tidak, dunia barat telah menerima spektrum biasan ilmu dunia Islam melalui alih bahasa dan tulisan Arab ke bahasa Suryaniy dan seterusnya ke huruf-huruf latin mereka.

Di buana Melayu juga, tulisan Arab inilah memainkan peranan untuk membina keintelektualan Melayu. Kitab-kitab jawi ditulis kebanyakannya adalah terjemahan dari tulisan/bahasa Arab seperti Minhajul Abidin (karangan Imam Al Ghazali) diterjemah oleh Sheikh Daud Al Fatani, Bulughul Maram (Sheikh Ibnu Hajar) dan kitab Hikam. Malah kreativiti ulama’ Melayu juga dibina melalui bahasa Melayu/tulisan jawi apabila karya Ihya Ulumiddin diterjemah dan diubahsuai dengan pengaruh Tariqat Samaniyyah oleh Sheikh Abdul Samad Al Falimbani.

Baik ulama’ Banjar, Patani, Kalimantan, Jawa, Riau, Palembang ataupun Acheh, bahasa mereka tidak menjadi masalah. Dialek mereka bukanlah penghalang kerana tulisan jawi menjadi penyatu untuk kefahaman murid-murid.

4. Transformasi besar dari Palava kepada Jawi
Sekitar abad ke-5 Masehi, tamadun Melayu yang sudah kukuh ialah di Kalimantan dan di Bali. Prasasti yang tertua yang dijumpai di Nusantara ialah prasasti di Kotai, Kalimantan Timur dan juga Kedah-P. Pinang, iaitu di Bukit Meriam di Kuala Sg. Merbuk, Ceruk Tokun, Provins Wellesley dan Sungai Bujang di Semenanjung Malaysia. Tarikh prasasti itu dianggarkan sekitar 400 Masehi. Aksara yang digunakan pada prasasti praIslam iaitu Palavi, kerana pengaruh aksara dari kerajaan Palava di selatan India dan Kawi, Jawa Purba. Huruf-huruf ini bermula daripada pengubahsuaian aksara dari kerajaan Palava di selatan India pada abad ke-4 Masehi, dan kemudian berkembang secara evolusi kepada huruf Kawi . Bermakna jangkamasa Palava adalah dari tahun 400 Masihi hingga tahun 1000 Masihi. Manakala jawi menjadi tulisan orang Melayu bermula sekitar tahun 1000 (atau lebih awal) hingga tahun 1960an (mulai merosot) .

Tulisan ini terlalu lama digunakan oleh orang Melayu. Perubahan penggunaan tulisan ini bukan suatu perubahan drastik malah ia dibentuk melalui pengharmonian budaya Islam (asimilasi) ke dalam budaya. Ini bermakna nenek moyang kita telah berhijrah dari satu ketamadunan sekretism Hindhu-Budhha kepada tamadun Islam malah dirangkaikan kepada tamadun Abbasiyyah mahupun Uthmaniyyah melalui hubungkait aqidah ini. Tulisan adalah bingkisan yang dipakejkan bersama –sama dengan pakej tamadun Islam tersebut. Inilah bingkisan, bagasi dan pusaka yang wajib dipelihara oleh kita.

5. Agenda menjadikan tulisan jawi dinamik dan praktis
Bercakap isu tulisan jawi seolah-oleh membincangkan bahasa dan kebudayaan bangsa asli (native nation) di Amerika Syarikat. Di Amerika, perbahasan mengenai kebudayaan Red Indian lebih kepada soal pupus dan pemuliharaan. Seolah-olah tiada kelihatan persaingannya di era globalisasi, tidak terlawan dengan kebanjiran kebudayaan Anglo Saxon di sana malah tidak bertenaga langsung. Umpama itulah perbicaraan kita hari ini mengenai tulisan jawi di Malaysia.

Dalam Konvensyen Tulisan Jawi pada tahun 1984 dan 1991 telah banyak usul-usul yang diluluskan yang semestinya berteraskan usaha memartabatkan tulisan jawi kepada tulisan yang praktikal serta dinamik. Praktikal bermaksud ianya relevan, berguna dan diterima pakai. Dinamik bermaksud ianya bertenaga serta mampu mengeja ejaan terkini.

Jika praktikal, mengapa hari ini borang kemasukan ke Universiti atau permohonan bekerja hanya dibenarkan penggunaan tulisan rumi? Borang kita pasti akan ditolak atau ‘dibakul sampahkan’ apabila kita masukkan aksara jawi dalam kotak-kotak borang kita. Nyatalah tulisan ini tidak dipraktikkan atau mengikut kata lain ianya tidak lagi praktikal. Tulisan ini juga mengalami ketinggalan teknologi yang agak teruk. Lihat sahaja, terjemahan tulisan rumi ke tulisan jawi juga sukar dilakukan, bukan semua komputer memiliki perisian tulisan jawi malah ia menjadi bebanan pula kepada pengguna yang ingin menggunakan sistem tulisan tersebut.

Sebenarnya isu ingin menjadikan tulisan ini praktikal dan dinamik adalah melalui mengangkat martabatnya, diperundangkan serta diaktakan agar menjadi tulisan utama. Jika hari ini keperluan aksara Latin amat perlu terutama aksara rumi yang telah menjadi ruang transaksi ilmu dunia, maka tulisan jawi juga tidak seharusnya hanya diraikan seperti warga emas. Mengapa saya berkata begini? Lihat hujah-hujah ini.

Tulisan jawi adalah nombor satu pada suatu ketika dahulu.
“Kerajaan Perikatan Persekutuan Tanah Melayu telah mengambil keputusan menjadikan bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan Malaya dan tulisan2 yang akan di-pakai ia-lah tulisan jawi dan rumi”( Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahrnan)

Lihat sendiri kedudukan Tulisan Jawi dalam akta Bahasa Kebangsaan 1963/67,
“Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi : dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan”.
[Akta 10/63, s. 2]

Tulisan ini mulai menjadi tulisan kedua akibat permodenan. Namun begitu kita mulai meraikannya sebagai ‘warga emas’. Tulisan jawi bukan yang pertama, sebaliknya hanya tidak dilarang penggunaannya sahaja. Bermakna ia adalah pilihan (optional). Walaupun tidak dilarang sekalipun, ia masih akan dihalang dalam urusan rasmi pada hari ini. Ini realitinya.
Usul oleh Universiti Malaya dalam Konvensyen Tulisan Jawi 1984.
“3.1- Sebuah Jawatankuasa penyelidikan dan penyelarasan tentang sistem ejaan jawi di peringkat serantau hendaklah dibentuk. Gerakan penulis seluruh negara, mencadangkan supaya Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan pindaan 1967 disemak semula, dan dimasukkan sama tulisan jawi”.
Usul oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dalam Konvensyen Tulisan jawi 1984
“2.1- Tulisan jawi hendaklah dijadikan salah satu asas keperibadian bangsa dengan cara menetapkan taraf tulisan tersebut iaitu dengan mengadakan akta atau undang-undang khas tentang tulisan jawi”.
Lihat juga cadangan Prof, Dato Ismail Ibrahim semasa ucapan dasarnya merasmikan Konvensyen Tulisan Jawi 1991,
“Usul ke-6 Memasukkan tulisan Jawi ke dalam akta Bahasa Kebangsaan sebagai tulisan rasmi bagi bahasa kebangsaan. Akta yang ada sekarang kelihatan seperti meletakkan tulisan Jawi di kelas bawahan selepas tulisan rumi dan para penerbit buku Melayu tidak berminat untuk menerbitkan buku di dalam tulisan Jawi, para pengiklan tidak menggunakan tulisan Jawi di dalam iklannya, para pekedai dan pengurus pejabat kerajaan dan swasta tidak memberikan perhatian tentang kepentingan tulisan Jawi. Tulisan Jawi tidak mempunyai nilai ekonomi dan budaya, dan tidak mendapat perlindungan undang-undang. Jadi Akta Bahasa Kebangsaan yang berkaitan perlulah diperkemaskan supaya menjadi lebih tegas” .
Melihat usul-usul di atas kita dapat menilai kedudukan tulisan ini yang kian dipinggirkan hingga kehilangan sifat praktikalnya serta dinamiknya. Tragedi ini adalah amat menyedihkan sekali.
Usul-usul di atas semuanya masih belum dilaksanakan malah hanya didiamkan.
6. Jawi ditindas oleh adi tulisan rumi
Benar seperti ramalan Pendeta Za’ba.
“Di-Malaya kedua2-nya tulisan Jawi dan Rumi ini sama terpakai bagi menuliskan bahasa Melayu. Bahkan pada masa ini ada-lah antara kedua-nya itu sedang berlawan hendak mendapat tempat yang utama salah satu-nya jadi tulisan Bahasa Melayu. Maka sungguh pun kita lihat sekarang tulisan Jawi maseh menang dan terkemuka, tetapi nampak2-nya dalam masa yang tidak lama lagi tetap-lah tulisan Jawi juga yang akan kalah. Sekarang ini sunggoh-lah penulis2 Melayu pehak tua maseh berpaut sa-kuat2-nya kapada tulisan Jawi dengan mengemukakan beberapa alasan menunjokkan kelebehan-nya dan kepatutannya oleh sebab tua-nya dan sangkut-menyangkut-nya dengan tulisan babasa ugama Islam. Mereka sangat tiada suka akan tulisan Rumi dengan mengemukakan pula beberapa kekurang-nya dan bahaya-nya sa-bagaimana yang tergambar pada angan2 mereka” .

Mehnah demi mehnah telah melanda tulisan ilmu ini. Lihat sahaja bagaimana kecaman dan kritikan keras diberikan kepada Dewan Ulama PAS apabila menggunakan tulisan jawi dalam kertas kerja dan bahan-bahan bercetak sempena Muktamar Dewan berkenaan pada tahun 2008. Alasan cuma satu iaitu tulisan itu tidak difahami dan perlu digantikan dengan tulisan rumi. Dewan Ulama’ dikatakan ortodoks hanya kerana sekelumit membela tulisan jawi.

Lihat, hari ini di Malaysia atau nama asal negara ini adalah ‘Tanah Melayu’, sudah kedengaran suara di kalangan bukan Islam yang gusar dan risau mengenai tulisan jawi yang dianggap suatu hak peribadi orang Islam. Sebagai contoh, bantahan Dr Tan Seng Giaw ahli parlimen DAP Kepong terhadap peruntuhan RM 72 000 untuk menulis tulisan jawi pada papan tanda jalan. Mereka gusar dengan agenda ‘islamisasi’ yang dikatakan menyekat kebebasan dan hak asasi kaum bukan Islam. Nampaknya kaum bukan Islam sedar tulisan jawi adalah sinonim dengan Islam dan Melayu. Namun menyedihkan apabila sikap negetif mereka terhadap jawi adalah fenomena yang tidak dapat dibendung lagi. Bayangkan bagaimana sukarnya dakwah dan penyebaran Islam di Malaysia, jika hanya tulisan pun telah mula menjadi simbol negatif dalam minda rakyat. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini ?

7. Pereputan tulisan jawi dan korpusnya dari kognitif-psikomotor umat Islam
Kata Zaa’ba lagi “Menulis Jawi itu lebeh pantas kerana bentok huruf-nya banyak yang pendek2 dan garis lurus sahaja, tiada bertakok2. Rupa-nya pun banyak yangsa-rupa, sa-kadar di-bedzakan oleh titek sahaja; jadi bagi orang yang baharu belajar lebeh senang mengingat-nya. Dan lagi bangun huruf-nya pula boleh di-kechilkan sa-berapa kechil pun jikalau dalam tulisan tangan. Demikian pula lapangan yang terpakai oleh-nya di-atas kertas jika di-tulis tangan banyak terkurang-nya daripada tulisan Rumi, kerana ejaan-nya lebeh rengkas, tidak semua bunyi perkataan-nya di-pakaikan hurut saksi saperti pada tulisan Rumi. Oleh itu maka dengan hitongan kasar jika sa-muka tulisan tangan huruf Jawi tetap-lah jadi dua muka atau lebeh jika di-salinkan ka-dalam huruf Rumi tulisan tangan yang sama besar tulisan-nya dengan Jawi itu”.

Pada suatu ketika, mata, otak dan hati orang Melayu fasih dan lancar apabila membaca dan meneliti jawi. Hari ini ia telah berubah sama sekali apabila kita gagal meneliti sesuatu perkataan secara sekali imbas apabila membaca. Kita hanya mampu meneliti ayat ke ayat. Pembacaan tulisan jawi telah terhakis dalam kognitif orang Melayu. Kita tidak mampu berinteraksi dengan mudah lagi dengan tulisan ini. Ia menjadi asing. Malah semasa saya mengikuti kelas di pondok-pondok, masjid mahpun kuliah umum kitab-kitab jawi, saya mencatat (dhabit) dengan tulisan RUMI! Amat menyedihkan apabila saya ditegur kerana berbuat demikian. Saya jelaskan bahawa saya lancar membaca dan meneliti ayat-ayat lama tulisan jawi (kitab kuning) namun agak lambat menulis atau tidak lancar.

8. Pemurnian fikrah kita terhadap tulisan jawi-bukan suatu agenda ‘ad-hoc’
Fikrah kita perlu dimurnikan agar memanjangkan akal untuk melihat kejayaan tulisan ini secara holistik dan berjangkamasa panjang. Ia bukan sekadar kerja singkat atau ad-hoc (untuk suatu tujuan tertentu) yang sekadar melepas batuk di tangga. Namun terdapat juga agenda ad-hoc yang bermanfaat untuk diteruskan di samping agenda-agenda besar.

Di bawah adalah satu usaha ad-hoc untuk memartabatkan tulisan jawi dan ia harus dipuji.
• INSTITUT PERGURUAN PEREMPUAN MELAYU (IPPM) di bawah jabatan Pendidikan Islam dan Moral menganjurkan Kursus Perkaedahan Jawi untuk guru-guru j-QAF Negeri Melaka pada 15 September 2008 bertempat di Dewan Seri Melor, Anjung Hikmah.
• SEMINAR Kebangsaan Tulisan Jawi 2008 yang berlangsung pada 25-27 Ogos 2008 telah diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam. Seminar ini dirasmikan oleh YTM Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Ibnu Tunku Syed Idrus al-Qadri.
• PLUS pernah memilih tulisan jawi untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengguna lebuh raya.
Menurut Kementerian Pendidikan , mereka telah melaksanakan beberapa kajian mengenai celik huruf jawi.
• Antaranya Pusat Perkembangan Kurikulum di Kementerian Pendidikan telah mengadakan kajian pelaksanaan Pelajaran Jawi di kalangan pelajar KBSR pada tahun 1992.
• Pada keseluruhan kajian ini mendapati 66.8% murid Tahun 1, 49% murid Tahun 2 dan 61.4% murid Tahun 3 boleh membaca jawi mengikut tahap mereka. Bagi Tahap 2, sebanyak 57.7% murid Tahun 4, 67% murid Tahun 5 dan 67.1% murid Tahun 6 boleh membaca jawi.
• Manakala kajian yang dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Islam dengan kerjasama Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998 terhadap murid tahun 6 di tiga buah negeri iaitu Johor, Selangor dan Pulau Pinang mendapati bahawa 61% murid menguasai kemahiran membaca jawi.
• Sementara itu, di peringkat KBSM, Pelajaran Jawi diperkukuh menerusi pelajaran Pendidikan Islam .

Jika benar atau tepat statistik berkenaan sekalipun, ia masih suatu usaha di dalam kerangka kognitif pendidikan. Ia juga masih dalam taktikal ‘examination oriented’. Jawi akan menjadi ‘makna’ apabila ia menjadi fenomena. Fenomena tulisan jawi bermaksud ia suatu lumrah, uruf atau adat, kebiasaan dan menjadi keperluan orang Melayu terhadap tulisan ini kembali. Inilah fenomena tulisan jawi yang dikehendaki.

Saya bersetuju dengan pendapat PKPIM dalam langkah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan bahasa Melayu iaitu ianya perlu mempunyai gerakan perubahan yang menyeluruh iaitu bermula dari awal kanak-kanak sehingga ke peringkat menara gading. Namun, langkah ini pasti tidak akan berjaya seandainya perubahan sikap dan paradigma tidak berlaku. Jangan hanya meletak makna warisan itu hanya menjadi hiasan di dinding rumah sebagi perhiasan dan lorekan. Tulisan jawi bukan sekadar tulisan untuk corak, lorekan atau perhiasan semata . Ini bermakna tulisan jawi kurang berksan jika hanya dijadikan agenda ad-hoc atau agenda jangka pendek sahaja. Jika sekadar diselitkan sebagai mata pelajaran atau hanya dijadikan syiar sahaja, ia belum berkesan hingga kembali ke zaman kegemilangan tamadun Islam.

9. Gagasan perjuangan kemerdekaan millennium-merdekakan jatidiri
Mari bersama kita merdekakan minda, ruh dan masa depan jasad Melayu negara dan agama kita melalui langkah kembali menobatkan tulisan jawi. Jika dahulu kita merdeka dari British, kita masih kekal dengan jawi. Pasca merdeka kemudiannya melihat ujian dan mehnah berlaku hingga neo-kolonialisme kembali menakluki epistemologi dan pentadbiran di Malaysia.
Di bawah ini saya sertakan gagasan dan saranan peribadi saya:
• Sila masukkan tulisan jawi ke dalam Akta Bahasa Kebangsaan mahupun Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan melalui langkah pindaan. Adakan juga akta khas untuk mengimunisasi sesiapa sahaja yang menggunakan tulisan ini dalam urusan rasmi kerajaan.
• Sebar luaskan kelas-kelas pengajian tulisan jawi melalui kitab jawi lama terutama kepada golongan belia dan mahasiswa agar mereka menjadi saksi betapa dielek berbeza ulama’ Melayu telah disatukan dalam satu tulisan tanpa masalah. Ini peranan Persatuan Ulama’ dan Persatuan Mahasiswa Islam.
• Menuntut agar keputusan Kongres Persuratan Melayu Se-Malaya I di Singapura diambil kira dan caranya adalah mewajibkan pendidikan jawi kepada guru-guru bahasa Melayu terlebih dahulu. Hal ini menghilangkan sekularisasi bahawa tulisan jawi hanya diajar oleh para ‘ustaz’ dan ‘ustazah’ sedangkan tulisan ini milik bahasa Melayu dan orang Melayu malah orang Malaya suatu ketika dahulu.
• Berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Perlaksanaan KBSR/KBSM 6 November 1980, tulisan jawi digunakan dalam buku teks pendidikan Islam mulai tahun 1. Saya menegaskan betapa perlunya ada satu buku teks kedua untuk bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi. Ia masih mengikut sukatan pelajaran Bahasa Melayu serta mengekalkan elemen JERI tetapi dicetak dalam tulisan jawi.
• Ulama’, NGO dan kerajaan wajib memberi kefahaman kepada non-muslim untuk menerima tulisan jawi sebagai salah satu tulisan orang Melayu serta tulisan Malaysia suatu ketika dahulu. Ia bukan memaksa mereka menggunakannya tetapi ia perlu bermula denga toleransi dan kefahaman serta tidak perlu dianggap penyebaran tulisan ini bakal merosakkan identiti dan hak kebebasan berbudaya mereka. Malah tulisan ini adalah sebahagian pakej di dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
• Kepada golongan guru, jika ada pelajar bukan Islam yang meminati tulisan jawi sila berikan galakan dan insentif tertentu agar mereka mengenali warisan seterusnya mengenali Islam.
• Peniaga Melayu, pemilik konsultan, koperasi atau syarikat Melayu, para kontraktor Melayu boleh meletakkan papan tanda bertulisan jawi secara berperingkat untuk membantu usaha ini. Tulisan jawi boleh juga dipamerkan pada kad bisnes serta kurangkan menggunakan perkataan Inggeris dalam penamaan syarikat kerana ia tidak membawa apa makna sekalipun.
• Kerajaan negeri boleh mencontohi polisi kerajaan Kelantan dalam perletakan papan tanda niaga dan permis tertentu dengan tulisan jawi. Walaupun mungkin gagal mengaplikasi seluruhnya, usaha ke arah itu perlu dimulakan.
• Untuk menggalakkan teknologi berasaskan jawi seperti perisian jawi, komputer, web dan kemudahan percetakan, ia perlu dimulakan dengan membudayakan jawi sehingga tulisan ini menjadi tulisan ilmu dan pembinaan tamadun, tulisan bisnes, tulisan komersial, tulisan berkompetetif serta produktf. Hal ini hanya berjaya jika semua saranan di atas dilaksanakan, Insya Allah.

Pada pandangan saya, usaha besar serta usaha kecil, usaha makro mahupun mikro perlu dijalankan serentak. Ini dapat menjadikan usaha kita berkesan dan tersusun. Usaha perlu dijalankan mulai sekarang tanpa tangguh atau bersikap malas.

Ipoh
2.34 petang, 23 Jun 2009 .


Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi.

By webmaster on 16/06/2009 14:53 2 comment
[Blog] myjawi.blogspot.com
Berikut merupakan satu lagi blog dalam tulisan jawi.
myjawi.blogspot.com

By webmaster on 14/06/2009 11:58 Tiada comment
My Jawi Games : Mainan komputer tulisan jawi
MENGIKUT catatan sejarah, tulisan jawi wujud di Nusantara sejak abad ke-14. Pembangunannya dikaitkan dengan penyebaran Islam dari Tanah Arab.

Di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan jawi sedikit demi sedikit hilang pengaruh berikutan perkembangan tulisan rumi, isu memartabatkan tulisan jawi mula diperkatakan.

Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan jawi dilatari kewajipan mempelajari ilmu agama, yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun, keistimewaan tulisan jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Justeru, sebarang usaha dalam mengetengahkan penggunaan tulisan jawi tentunya berbaloi.

Baru-baru ini, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melakar kejayaan dengan penghasilan permainan komputer berasaskan tulisan jawi yang dinamakan My Jawi Games.

Dicipta oleh pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Informasi KUIS, Noor Azli Mohamed Masrop, 37, permainan ini boleh dikategorikan sebagai satu aplikasi mobile learning atau kaedah pembelajaran cara mudah alih.

Pada Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-20 (20th International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2009) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 17 Mei lalu, My Jawi Games memenangi Anugerah Pingat Emas.

Pameran itu melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi, pertubuhan, syarikat dan individu dari dalam dan luar negara.

Cerita rakyat

My Jawi Games direkabentuk berasaskan cerita rakyat Pahang iaitu Azimat Awang Miskin dengan menggunakan platform animasi multimedia Adobe Flash sepenuhnya.

Cerita Azimat Awang Miskin mengisahkan seorang anak yatim piatu, Awang yang merantau untuk menuntut ilmu. Dalam pengembaraannya, Awang perlu menghadapi pelbagai cabaran.

Melalui tujuh modul, pengguna dicabar dengan pelbagai aktiviti seperti mengutip dan mengira buah-buahan, mendaki bukit, menyeberang sungai yang penuh buaya, memasak dan menangkap ikan.

"Alhamdulillah, permainan ini dapat disiapkan dalam tempoh kira-kira setahun," kata Noor Azli, yang telah berkhidmat di KUIS selama 13 tahun.

"Saya amat berterima kasih kepada KUIS kerana memberikan kerjasama dan bantuan, termasuk cuti bergaji penuh," tambahnya.

Projek ini juga mendapat sokongan daripada pelajar serta guru sekolah, yang memberikan maklum balas dan nasihat berkenaan pendekatan pembelajaran di sekolah.

Permainan ini telah diuji di beberapa buah sekolah di sekitar Bangi dan mendapat sambutan yang amat baik. Hasilnya, ada murid sekolah terlibat yang sebelum ini tidak cekap membaca tulisan jawi kini dapat membacanya dengan lancar.

Objektif dan sasaran

My Jawi Games dihasilkan bertujuan memperkasa dan memartabat tulisan jawi bermula di peringkat kanak-kanak.

Dengan menggabungkan pembelajaran tulisan jawi bersama cerita rakyat, penghasilan My Jawi Games dilihat sebagai menyahut saranan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang mahu menjadikan tulisan jawi serta cerita rakyat sebagai warisan negara yang sentiasa diguna pakai dalam kehidupan seharian.

Pada masa yang sama, My Jawi Games memberi pendedahan kepada pengguna, iaitu kanak-kanak menguasai teknologi maklumat dan multimedia dengan cara yang menyeronokkan.

Idea untuk menghasilkan permainan ini bermula apabila bapa kepada lima orang anak ini sering mendengar kes pelajar ponteng sekolah dan mengunjungi pusat permainan video.

Bertolak daripada rasa tanggungjawab yang menebal, Noor Azli berusaha mencari alternatif yang dapat membendung gejala tersebut.

"Lumrah kanak-kanak sukakan permainan yang menggembirakan, saya membina permainan jawi yang sekali gus dapat memberi motivasi dan nilai-nilai murni kepada mereka," kata Noor Azli.

Menurut Noor Azli, projek ini dihasilkan bagi melengkapi sebahagian daripada kajian beliau di peringkat kedoktoran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijangka selesai pada tahun hadapan.

Rancangan masa hadapan

Harapan Noor Azli, My Jawi Games dapat diterima ramai.

Anak kelahiran Selangor ini berkata, permainan ini belum dipatenkan lagi kerana masih dalam peringkat percubaan.

Beliau ingin terus menjalankan percubaan di mana-mana pusat pendidikan untuk memenuhi syarat permohonan paten bagi permainan ini.

Noor Azli, yang pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan mencipta logo pertandingan Kemahiran ASEAN, berhasrat menaik taraf dan mempelbagaikan lagi ciptaannya agar penggunaannya tidak terhad kepada peringkat awal pembelajaran sahaja, malah sesuai untuk semua peringkat umur.

Contohnya, pendekatan tulisan jawi boleh digunakan dalam permainan komputer berunsur aksi lasak yang digemari oleh golongan remaja.

Melihat lebih jauh ke hadapan, Noor Azli juga mengimpikan untuk menerapkan penggunaan tulisan jawi dalam pembelajaran matematik dan sains, sebagaimana ia boleh diajar dalam bahasa Inggeris pada masa ini.

"Dalam semangat yang sama, jika tulisan jawi dapat diangkat sebagai satu daripada komponen dalam mata pelajaran Pendidikan Islam yang dinilai dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), berkemungkinan murid akan lebih bersungguh-sungguh untuk mempelajari jawi," kata Noor Azli.

Menurutnya, pelbagai usaha penyelidikan melibatkan tulisan jawi sememangnya telah dan sedang dijalankan di beberapa institusi pengajian tinggi, antaranya seperti penciptaan pemproses perkataan jawi, penukar rumi-jawi, pengimbas jawi, penukar laman web rumi ke jawi dan perisian pembelajaran jawi.

My Jawi Games pula sebagai permainan komputer diharap akan menjadi permulaan kepada satu lagi sumbangan ke arah memartabatkan tulisan jawi.

Rektor KUIS, Datuk Mohd. Adanan Isman berkata, My Jawi Games merupakan satu penemuan inovasi yang baik.

"Dahulu, kita mendapat sumber bacaan jawi daripada kitab-kitab, surat khabar serta makalah-makalah, tetapi (kini bahan-bahan ini) kurang mendapat sambutan," katanya.

Menurutnya, penemuan teknologi yang sangat menarik ini diharapkan dapat memberi suntikan baru kepada pembangunan tulisan jawi. - Bernama

Sumber : Kosmo! Online

By webmaster on 14/06/2009 11:53 Tiada comment
[Jalan-jalan] MyJawi.net
Salam buat semua,
Kebetulan hari ini saya masih berada di Kota Bharu dan tengah siapkan kerja untuk berangkat ke Bangi tengah hari ini. Kebetulan sambil melayari internet, saya terjumpa satu laman aplikasi "Rumi to Jawi converter" iaitu www.myjawi.net... hampir sama dengan versi ejawi.net pada versi awal...

Teruskan usaha anda!


Blog Archive

2013
November (1)
January (5)
2012
December (2)
September (1)
August (1)
May (1)
April (1)
March (1)
March (3)
January (26)
2011
December (29)
August (1)
July (3)
June (4)
May (4)
April (3)
March (3)
March (4)
January (9)
2010
December (2)
October (2)
September (3)
August (2)
July (4)
June (6)
May (7)
April (4)
March (1)
March (5)
January (9)
2009
December (2)
November (5)
October (5)
September (9)
August (11)
July (6)
June (4)
May (3)

Terms & Conditions | Privacy | Contact Us | W3C Help | Login

Best viewed with Firefox 3.5 and above. Screen resolution 1280 X 1024
Copyright © 2006-2013. Ejawi.net. Developed by
Nik Muhammad bin Nik Abdul Kadir
ITQAN Network Management & Services

Ejawi applications available for free to all users who visit this site. Any use is subject to the terms and conditions set by the Ejawi. Ejawi not be liable for any claims due to the use of this site. Contact us at cmd_safhah [at] yahoo [dot] com